Sabtu, 19 Jun 2010

Kayveas minta Murugiah digugurkan

KUALA LUMPUR 19 Jun - Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas hari ini sekali lagi menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah daripada barisan Kabinet.

Walaupun tidak menyebut nama Murugiah sebaliknya menggelarkan bekas pemimpin PPP itu sebagai 'musang' yang licik mempengaruhi pihak lain, Kayveas mendakwa, 'musang' tersebut turut bertanggungjawab mencetuskan suasana tidak sihat dalam PPP.

Sehubungan itu, beliau meminta Perdana Menteri mengambil tindakan segera terhadap 'musang' tersebut kerana jika berterusan, ia boleh mencetuskan pelbagai masalah baru kepada PPP dan juga Barisan Nasional (BN).

"Terdapat sebuah kerajaan di kawasan pedalaman di Afrika yang dipimpin oleh seekor 'singa'. Kemudian, pada suatu hari muncul seekor 'musang' yang menawarkan diri untuk membantu singa itu memantapkan lagi kerajaannya.

"Tetapi selepas diterima untuk membantu kerajaan berkenaan, 'musang' ini kemudian mendakwa dia telah menjadi ketua kepada sekelompok rakyat sehingga akhirnya menimbulkan perpecahan," katanya.

Kayveas berkata demikian semasa berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan parti itu yang ke-57, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Tiada ulasan: