Ahad, 20 Jun 2010

Selesai segera masalah kepimpinan kaum India

BAGAN DATOH 20 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu masalah kepimpinan di kalangan kaum India yang menyebabkan kaum tersebut berpecah diselesaikan segera.

Beliau berkata, walaupun berbangga semua parti dan kumpulan yang mewakili kaum itu menyokong Barisan Nasional (BN), konsolidasi kaum India amat penting bagi memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan kepada mereka.

''Masyarakat India mesti menyelesaikan masalah kepimpinan yang mewakili kaum India kerana terlampau banyak kelompok kecil yang mewakili kaum India dan sebagai contoh, Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) berpecah kepada empat kumpulan.

''Saya harap proses konsolidasi dapat dilakukan kerana jika kaum India diwakili kepimpinan yang mewakili mereka secara menyeluruh, lagi mudah untuk kerajaan menyalurkan bantuan," katanya pada Majlis Perasmian Dewan Sanmarka Orang India di Hutan Melintang, dekat sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Perdana Menteri turut meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk kaum India di kawasan ini iaitu RM300,000 bagi melunaskan baki kos membina dewan tersebut dan RM200,000 lagi untuk menurap jalan di tempat letak kenderaan di luar bangunan berkenaan.

Beliau turut meluluskan permintaan penduduk India kawasan itu yang mahu diberikan sebidang tanah untuk dibina kuil.

Majlis perasmian dewan itu adalah sempena lawatan kerja beliau ke kawasan Parlimen Bagan Datoh hari ini.

Najib berkata, sokongan dan keyakinan masyarakat India kepada BN yang merosot pada Pilihan Raya Umum Ke-12 sudah semakin baik pada masa ini selepas usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

Kata Perdana Menteri, ini termasuk menyelesaikan masalah pemegang saham MAIKA Holdings walaupun ia merupakan inisiatif swasta.

Terdahulu, dalam lawatan kerja ke Kampung Bagan Sungai Tiang di sini, Najib menerima sambutan hebat daripada lebih 2,000 penduduk kampung tersebut yang tidak mahu melepaskan peluang untuk berjabat tangan dengan beliau.

Penduduk kampung berkenaan memberikan tepukan gemuruh dan bersorak 'Hidup Najib' dan '1Malaysia' sebagai sokongan kepada Perdana Menteri.

Sempena lawatan itu, Najib turut menyampaikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) selama 10 tahun kepada 125 penduduk Kampung Baru Cina di Bagan Sungai Burong, Bagan Ikan, Bagan Sungai Belukang, Bagan Parit Empat dan Bagan Sungai Tiang.

Tiada ulasan: