Ahad, 20 Jun 2010

Skuad Sayang disaran jadi penepis fitnah parti BN

PETALING JAYA 20 Jun - Skuad Sayang Pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN) disaran supaya bertindak sebagai 'penepis' terhadap fitnah yang dilemparkan ke atas pemimpin dan parti itu.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, Skuad Sayang yang berkesempatan bertemu rakyat dengan lebih dekat boleh melaksanakan tugas memberi penjelasan sebenar ke atas segala tuduhan tidak berasas oleh pihak pembangkang itu.

"Malah Skuad Sayang juga diharap akan dapat membersihkan nama pemimpin dan parti BN yang sering diputar-belitkan dengan cerita yang tidak benar,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pelancaran Skuad dan Stor Sayang Wanita Barisan Nasional (BN) di pekarangan pejabat Bahagian UMNO Subang di Jalan Pekaka 8/3, Seksyen 8, Kota Damansara di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Pergerakan Wanita BN Selangor yang juga Pesuruhjaya Skuad Sayang Selangor, Raja Datuk Ropiaah Raja Abdullah.

Pada majlis itu Rosmah juga menyampaikan bantuan kerusi roda, kaca mata dan cek RM25,000 untuk kemudahan pendidikan pelajar yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Rosmah juga memuji usaha Pergerakan Wanita BN Selangor kerana mengambil daya usaha untuk menubuhkan Skuad Sayang yang pertama di negara ini dengan 10,000 ahli.

"Pasukan bermotosikal ini akan menjelajah ke setiap pelosok negeri dan daerah untuk berkhidmat, menabur bakti serta mengenali masyarakat setempat dengan lebih rapat lagi,'' katanya.

Katanya, walaupun ahli Skuad Sayang terpaksa menggalas peranan sebagai ibu, isteri dan pekerja tetapi mereka masih sanggup memikul tanggungjawab serta amanah bagi menjayakan program tersebut.

Rosmah berkata, pelancaran skuad ini juga merupakan satu titik perubahan yang cukup signifikan dalam usaha BN untuk terus berkhidmat dengan jujur dan ikhlas kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

Tiada ulasan: