Ahad, 20 Jun 2010

Pemuda UMNO Tebrau digesa turun padang dekati rakyat


Saifuddin Abdullah bersalam dengan perwakilan pada Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau di Kampung Maju Jaya Skudai, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 20 Jun - Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau digesa lebih kerap turun padang bagi mendekatkan diri dengan masyarakat sekali gus mencari ahli baru.

Ketuanya, Syahrin Md. Jamaluddin berkata, usaha tersebut bukan sahaja dapat merapatkan lagi hubungan antara masyarakat dengan pergerakan tersebut malah dilihat mampu menarik minat golongan muda untuk menjadi ahli baru pergerakan itu.

Selain masyarakat setempat katanya, pergerakan itu juga disaran untuk meluaskan peranannya termasuk mendekati pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melibatkan golongan muda.

"Kita berharap dengan pendekatan ini, sasaran untuk mendapatkan 1,000 ahli baru pada tahun ini akan tercapai.

"Bagaimanapun saya tetap mengingatkan Pemuda UMNO agar tidak leka dan sentiasa bekerja keras bagi membuktikan pergerakan ini sama penting peranannya dengan sayap pergerakan UMNO yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau di padang Kampung Maju Jaya di sini hari ini.

Mesyuarat itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan timbalannya, Datuk Abdul Halim Suleiman.

Dalam pada itu Md. Syahrin berkata, sebuah kaunter Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut dibuka pada persidangan tersebut bagi membolehkan ahli-ahlinya memeriksa status pendaftaran masing-masing.

Menurut beliau, Pemuda UMNO bahagian itu mengenal pasti seramai 1,806 ahlinya yang masih belum mendaftar sebagai pemilih.

Md. Syahrin yang juga Pengerusi Belia 4B Johor berkata, pihaknya kini turut memberikan perhatian kepada golongan belia kerana mereka bakal menjadi pelapis kepimpinan Pemuda pada masa akan datang.

Selain persidangan tersebut, turut berlangsung majlis Sambutan Hari Belia dan Program Juara Rakyat yang bermula sejak kelmarin dan berakhir hari ini

Tiada ulasan: