Selasa, 22 Jun 2010

Penerbit RTM terbunuh kereta dirempuh pacuan empat roda

KUALA LUMPUR 22 Jun – Seorang penerbit rancangan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagaikan tahu beliau akan meninggal dunia apabila memilih lagu berjudul Selamat Tinggal sebagai lagu tema penutup rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitannya pagi ini.

Lagu dinyanyikan kumpulan Titiwangsa itu menjadi penutup rancangan terbitannya sebelum beliau terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 59, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh di Kuala Kubu Bahru dekat sini petang ini.

Kemalangan berlaku pukul 1 petang ketika mangsa, Noor Azaha Rasadi, 33, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Proton City, Tanjung Malim, Perak selepas selesai bertugas.

Noor Azaha terbunuh selepas kereta Proton Iswara yang dipandunya dirempuh dari belakang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mahendra Scorpio.

Kereta Mahendra Scorpio itu dipandu oleh seorang lelaki berusia 51 tahun bersama isterinya yang berusia 50 tahun.

Kemalangan berlaku semasa kedua-dua kenderaan terbabit menghampiri persimpangan ke Kuala Kubu Bahru.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di tengkuk meninggal dunia di tempat kejadian manakala pasangan suami isteri terbabit tidak mengalami kecederaan.

Mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bahru untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affendi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan itu.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Noor Azaha yang berasal dari Kampung Malim Nawar, Perak sudah lapan tahun bertugas di RTM, meninggalkan isteri, Naida Khalil dan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Amirul Hakimi, Muhammad Umar Qhaliff dan Nur Nisrina Nabihah.

Kematian Noor Azaha berlaku tidak sampai sebulan kes kemalangan yang meragut nyawa seorang lagi penerbit rancangan RTM, Allahyarham Zainab Jusoh, 54, dan suaminya, Ahmad Ariffin Ahmad Manap, 67.

Pasangan suami isteri itu terbunuh manakala seorang anak mereka cedera setelah kereta Mercedes-Benz yang dinaiki terbabas lalu merempuh sebatang pokok di Kilometer 296.7, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ibu negara, dekat susur keluar Bangi pada 30 Mei lalu.

Tiada ulasan: