Isnin, 21 Jun 2010

Murugiah minta PM jadi orang tengah

KUALA LUMPUR 21 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diminta menjadi orang tengah bagi menggabungkan kaum India yang berpecah kepada beberapa kumpulan tetapi menyokong Barisan Nasional (BN).

Ketika membuat gesaan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah berkata, selaku Pengerusi BN usaha Najib dalam soal tersebut sudah pasti akan disanjung oleh kaum India.

''Selain itu, saya juga menggesa semua pemimpin masyarakat India memandang serius dan memberi perhatian terhadap seruan Najib agar mereka bersatu dan mengenepikan perbalahan,'' katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Najib yang mahukan masalah kepimpinan di kalangan kaum India yang menyebabkan kaum tersebut berpecah diselesaikan segera.

Menurut Perdana Menteri, walaupun berbangga semua parti dan kumpulan itu menyokong Barisan Nasional (BN), konsolidasi kaum India amat penting bagi memudahkan mudahkan kerajaan menyalurkan bantuan kepada mereka.

Murugiah seterusnya berkata, kenyataan Perdana Menteri yang mahu mereka berbuat demikian demi kepentingan masyarakat kaum India perlu disokong oleh semua pihak yang terlibat.

''Saya menyeru semua kaum India mempertimbangkan seruan beliau secara baik dan mengorak langkah ke arah kesatuan kaum India di negara ini." katanya.

Dalam kenyataannya juga, Murugiah menyeru pemimpin kaum India yang berpecah kepada beberapa kumpulan kecil termasuk Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) dan Makkal Sakhti untuk bersatu demi masa depan kaum India.

"Perpecahan tidak akan membawa sebarang kebaikan kepada kita sebaliknya akan mewujudkan rasa iri hati dan pertelingkahan sesama sendiri dan akhirnya ia akan membantutkan pembangunan diri dan masyarakat" katanya.

Tiada ulasan: