Ahad, 20 Jun 2010

UMNO tumpu ke kilang, bank tarik ahli parti

PADANG RENGAS 20 Jun - UMNO akan bergerak ke kawasan kilang serta syarikat swasta termasuk institusi perbankan yang terdapat ramai pekerja Melayu serta bumiputera untuk menambah bilangan ahli barunya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (gambar) berkata, usaha mencari ahli baru tidak harus terhad menerusi program-program di tempat tumpuan awam dan pameran seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) tetapi perlu diperluaskan.

Justeru, beliau yang merupakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mahu jentera UMNO di peringkat cawangan dan bahagian mengambil inisiatif menambah bilangan ahli dan bukannya bertahan dengan bilangan sedia ada.

''Kekuatan ahli di peringkat akar umbi akan memperkuatkan parti di peringkat pusat.

''Sebagai contoh UMNO Perak kini mempunyai 200,000 orang ahli dan ia boleh dipertingkatkan sehingga 500,000 orang jika usaha ini digerakkan di semua peringkat," katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas di sini hari ini.

Dalam pada itu Mohd. Shafie berkata, tiada ertinya jika ahli UMNO kekal dalam parti sekiranya mereka tidak menjadi pengundi yang memberikan kemenangan kepada UMNO.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya jentera UMNO turut memastikan semua ahlinya berdaftar sebagai pengundi.

''Sebelum proses pemutihan dahulu, UMNO mempunyai 3.2 juta ahli, namun selepas pemutihan seramai 60,000 orang ahli terpaksa di keluarkan kerana ada yang meninggal dunia, berpindah ke parti lain dan selebihnya tidak dapat dikesan.

''Ahli yang tidak dapat dikesan itu perlu dipastikan masih ahli UMNO dan merupakan pengundi berdaftar," katanya.

Sementara itu, beliau yakin rakyat di bandar dan luar bandar akan dapat menikmati pembangunan komprehensif yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

''Pembangunan menyeluruh ini akan menukar wajah kawasan-kawasan terbabit seterusnya rakyat akan menerima perubahan besar hasil kerja-kerja menaik taraf kemudahan-kemudahan sedia ada," ujarnya.

Tiada ulasan: