Ahad, 20 Jun 2010

Semua parti komponen BN perlu akur teguran PM - Ali Rustam

PONTIAN 20 Jun - Semua ahli komponen Barisan Nasional (BN) perlu akur dengan teguran dan ingatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mereka tidak bertelagah sesama sendiri.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohd. Ali Rustam (gambar) berkata, ingatan tersebut adalah ikhlas dan tepat pada masanya bagi memastikan fokus setiap pimpinan parti menjurus kepada pembangkang bukan sebaliknya.

Beliau berkata, sekiranya semua pihak masih bertelagah sesama sendiri dan berbeza pendapat, dikhuatiri isu yang dimainkan oleh pembangkang gagal untuk dijelaskan kepada ahli parti masing-masing.

"Saya menyokong dan mengalu-alukan ingatan yang dibuat oleh Perdana Menteri itu agar semua pihak bersedia untuk 'menyerang' dan bukan terus bertahan sahaja.

"Sekiranya UMNO dan komponen BN terus berdiam diri dan bertahan, ia akan memberi ruang lebih luas kepada pembangkang untuk terus menabur pelbagai fitnah dan janji kosong," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pontian di Dewan MRSM Pontian di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Ir. Hasni Mohammad; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian dan Ketua Wanita UMNO Bahagian, Aminah Abdullah.

Semalam Perdana Menteri berkata, pertelagahan sesama sendiri merupakan perbuatan yang mendedahkan kelemahan parti sedangkan pembangkang bijak menyembunyikan kelemahan mereka.

Mohd. Ali berkata, peranan untuk menjelaskan sesuatu perkara perlu dilakukan oleh semua pihak sama ada UMNO dan parti komponen BN yang lain supaya rakyat mendapat gambaran sebenar.

"Sekiranya timbul isu-isu berkaitan agama yang dimainkan oleh pemimpin Pas dan pemimpin Islam di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), menjadi tanggungjawab UMNO untuk turun padang dan menjelaskan perkara tersebut.

"Begitu juga MCA dan Gerakan perlu bersedia untuk menemui pengundi mereka sekiranya timbul isu yang dimainkan oleh DAP dan PKR supaya ia tidak terus menjadi masalah kepada BN," katanya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, cabaran yang perlu ditempuhi oleh BN sewajarnya disedari oleh semua pihak dan mereka tidak mengambil mudah setiap perkara yang berlaku.

Dalam ucapannya, Mohd Ali menegaskan, Pas dan pimpinan Islam di dalam PKR sanggup melakukan apa sahaja termasuk menggunakan agama untuk kepentingan politik mereka.

Tiada ulasan: