Khamis, 17 Jun 2010

Buktikan dakwaan - Yit Foong

IPOH 17 Jun - Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dicabar mengemukakan bukti wujud perjanjian yang mensyaratkan setiap wakil rakyatnya membayar ganti rugi RM5 juta jika bertindak keluar dari parti itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Datuk Hee Yit Foong yang menyangkal kewujudan perjanjian itu menegaskan, sekiranya dakwaan itu benar, Koo Ham perlu menunjukkan bukti terlebih dahulu.

Tegas Yit Foong, dakwaan yang dibuat oleh Koo Ham itu adalah agenda terbaru pakatan pembangkang yang gentar dan mula terasa goyah dengan situasi parti mereka.

"Beliau (Koo Ham) suka cakap kosong sahaja. Saya sendiri tidak jelas apa yang dicakapkannya (perjanjian).

"Jika saya pun tidak tahu apa yang beliau cakap, jadi macam mana surat itu boleh wujud. Suruh beliau tunjukkan dulu surat perjanjian itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Koo Ham bahawa semua wakil rakyat DAP telah menandatangani perjanjian tersebut selepas Pilihan Raya Umum 2008 lalu.

Sambil menyifatkan Koo Ham sebagai pemimpin yang suka mencari publisiti, tegas Yit Foong, beliau enggan mengulas lanjut dakwaan tersebut sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada peguamnya.

"Saya letihlah nak layan orang-orang macam ni. Suka sangat mengejar publisiti, bukannya hendak berkhidmat untuk rakyat. Biarlah beliau (Koo Ham) hendak cakap apa, saya malas nak layan. Yang penting pada saya sekarang ini adalah berkhidmat kepada masyarakat di kawasan saya," katanya.

Sementara itu, Koo Ham ketika dihubungi menafikan perjanjian tersebut sekadar kertas kosong yang sengaja direka bagi 'membalas dendam' terhadap wakil rakyat parti itu yang bertindak keluar DAP.

Tegas beliau, perjanjian itu memang wujud dan ditandatangani oleh semua wakil rakyat DAP Perak.

"Saya boleh buktikan perjanjian itu memang wujud. Sudah tentulah ia bukan kertas kosong kerana ia adalah perjanjian. Saya boleh tunjukkan bila-bila masa kerana saya ada salinan perjanjian itu," katanya.

Ditanya kelewatan penguatkuasaan perjanjian itu, jelas Koo Ham, ia harus dibuat bagi mengelakkan lebih ramai wakil rakyat parti tersebut yang belot dan mengaut keuntungan hasil daripada kemenangan pada pilihan raya lalu.

Dakwanya, perjanjian itu bukan bertujuan mementingkan duit semata-mata, sebaliknya supaya semua wakil rakyat DAP Perak tidak belot dan berkhidmat dengan penuh adil kepada masyarakat.

Tiada ulasan: