Ahad, 20 Jun 2010

Rosnah nafi ada pergeseran dalam Puteri UMNO

KULIM 20 Jun - Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menafikan berlaku pergeseran di dalam pergerakan tersebut menyebabkan beberapa bahagian dan negeri tidak berfungsi dengan baik sejak kebelakangan ini.

Katanya, krisis dalaman di kalangan para pemimpinnya tidak timbul memandangkan hubungan sesama mereka sangat akrab dan berlandaskan semangat setiakawan.

Beliau menegaskan, desas-desus mengenai pergeseran tersebut merupakan spekulasi pihak tertentu yang mahu melemahkan Puteri UMNO.

"Saya yakin ini adalah satu spekulasi berniat serong yang cuba ditimbulkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Ia semata-mata mahu memecahkan pertalian akrab di kalangan pemimpin pergerakan ini," katanya selepas merasmikan mesyuarat Puteri UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan melancarkan Kempen Keahlian Rakan Cop sebagai menyokong kempen Banteras Rogol dan Ragut (B2R) Peringkat Parlimen Kulim/Bandar Baharu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir; Ketua Puteri UMNO bahagian itu, Nor Sabarina Mohd. Nor dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Supritendan Chin Sin Song.

Rosnah mengulas dakwaan berlaku krisis dalaman di kalangan pemimpin pergerakan berkenaan sehingga menyebabkan sayap Puteri UMNO di beberapa negeri dan bahagian tidak berjalan dengan baik.

Beberapa pemimpin Puteri UMNO di peringkat bahagian dikatakan melahirkan rasa kurang senang terhadap Rosnah kerana meminggirkan peranan mereka sejak menerajui pergerakan tersebut lebih setahun lalu.

Utusan Malaysia difahamkan, di Kedah sekurang-kurangnya empat pemimpin Puteri UMNO bahagian dipercayai menulis surat kepada Rosnah bagi menyatakan kekecewaan mereka itu.

Rosnah mengakui ada kalanya para pemimpin Puteri UMNO mempunyai pandangan berbeza dalam sesetengah isu, bagaimanapun perkara tersebut tidaklah sampai ke tahap menjejaskan peranan dan fungsinya di semua peringkat.

"Saya tidak melihat kita ada masalah dalaman. Mungkin ini sengaja ditimbulkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab atau di kalangan pihak yang mempunyai agenda peribadi," jelasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menasihatkan ahli-ahli pergerakan itu supaya menumpukan perhatian kepada usaha memperkukuhkan jentera lebih awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Tiada ulasan: