Ahad, 20 Jun 2010

UMNO WP tumpu daftar pengundi baru

KUALA LUMPUR 20 Jun - Gerakan mendaftarkan ahli UMNO sebagai pengundi baru menjadi misi utama Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan (WP) dalam tempoh sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

Timbalan Pengerusinya, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (gambar) berkata, langkah itu penting kerana undi merupakan penentu kepada jatuh atau bangunnya Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum tersebut.

Beliau berkata, biarpun jumlah keahlian ramai, ia tidak akan membantu parti jika masih terdapat sebahagian daripada ahli tidak mendaftar sebagai pengundi.

"Sebagai contoh di kawasan saya iaitu di Lembah Pantai. Jumlah ahli kira-kira 17,000 tetapi jumlah pengundi UMNO berdaftar di kawasan ini hanya sebahagian daripada jumlah itu.

"Perkara ini harus segera diatasi kerana undi amat penting bagi BN dan UMNO. Oleh itu gerakan untuk mendaftarkan pengundi baru sama ada ahli lama atau ahli baru perlu lebih diperhebatkan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Kepong di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kepong dan Ketua UMNO Bahagian Kepong, Senator Datuk Ridzuan Abdul Hamid.

Raja Nong Chik berkata, hakikatnya, UMNO tidak boleh mengharapkan pengundi yang dahulunya memberi undi kepada pihak pembangkang kembali semula kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.

''UMNO dan BN sekarang bukannya berada dalam zon selesa dan keadaan ini berlaku disebabkan senario politik yang semakin berubah. Penekanan kepada usaha mendaftarkan pemilih baru perlu dilakukan.

''Kita tidak mahu nanti apabila berlaku pilihan raya umum pengundi kita tidak mencukupi walaupun sebelum itu kita diberitahu jumlah ahli-ahli kita cukup ramai,'' ujarnya.

Mengulas isu sama beliau berkata, semua pemimpin termasuk di peringkat cawangan harus memainkan peranan untuk menggerakkan daftar pengundi baru.

''Pembangkang sebenarnya lemah tetapi mereka mampu menghadapi cabaran kita kerana kekuatan kita tidak seberapa.

''Cuba kita kuat, jumlah pengundi kita ramai, perpaduan kita utuh dan kita bersama-sama mendukung hasrat pemimpin sudah tentu kita mampu menghadapi mereka dengan mudah,'' ujarnya.

Terdahulu Shahrizat dalam ucapannya mahu semua sayap di dalam UMNO tidak lemah semangat terutama untuk berhadapan dengan cabaran pembangkang.

''Khususnya kepada Wanita. Saya selalu memberi pesan pada setiap kali perjumpaan dengan Wanita supaya kita terus bersemangat dalam usaha kita menguatkan semula UMNO,'' katanya

Tiada ulasan: