Ahad, 20 Jun 2010

‘Gila dan tidak bertanggungjawab’


HISHAMMUDDIN Tun Hussein bersama isterinya, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah dan Ahmad Shabery Cheek (kanan) memotong pulut kuning sempena sambutan Hari Bapa pada Mesyuarat UMNO Bahagian Sembrong di Kluang, semalam.


KLUANG 20 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat semakin terdesak sehingga sanggup menjadikan isu keselamatan negara sebagai mainan politik dengan mengeluarkan kenyataan yang dianggap ‘gila dan tidak bertanggungjawab’ untuk memenuhi cita-cita peribadinya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bahawa isu Jemaah Islamiah (JI) hanya helah Barisan Nasional (BN) untuk mengalih perhatian rakyat menunjukkan Anwar cuba menafikan apa yang telah dilakukan pihak berkuasa dalam memerangi ancaman pengganas.

“Jikalau itu pun dia (Anwar) boleh tuduh kita mereka-reka, satu hari nanti jika JI (Jemaah Islamiah) meletupkan rumah dia, itu pun dia akan tuduh UMNO juga.

“Gila punya statement (kenyataan), sampai terrorist (pengganas) pun nak dipolitikkan. Kenyataan yang tak bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat UMNO Bahagian Sembrong di sini hari ini.

Mesyuarat itu dirasmikan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang juga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Hishammuddin berkata, kenyataan Anwar mengenai JI hanya akan menyebabkan orang ramai semakin menyedari bahawa pemimpin pembangkang itu sanggup melakukan apa sahaja termasuk menafikan usaha murni kerajaan demi memuaskan kerakusan nafsu politiknya.

“Kita sentiasa berusaha dan bersedia menjaga keselamatan negara supaya semua rakyat Malaysia termasuk Anwar dapat tidur lena,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar rakyat tidak terpengaruh dengan usaha pemimpin pembangkang itu untuk memperlekehkan pentadbiran BN dengan memutarbelitkan fakta dan mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas

Tiada ulasan: