Ahad, 20 Jun 2010

Tian Chua boleh hilang taraf

PUTRAJAYA 20 Jun – Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan bahawa jika seseorang pesalah didenda RM2,000, maka keanggotaannya sebagai Ahli Parlimen boleh disahkan sebagai hilang taraf.

Pakar perlembagaan negara, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seseorang Ahli Parlimen hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara jika antara lain beliau dikenakan penjara oleh mahkamah tidak kurang satu tahun atau denda ‘tidak kurang daripada RM2,000'.

Dalam aspek ini, beliau menarik perhatian bahawa kesamaran penghakiman kes Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang mendatangkan kecederaan kepada seorang anggota polis memang tampak sebagai kes kurang jelas implikasinya.

‘‘Lantaran hakim mengenakan denda RM2,000 atas kesalahan Tian Chua menggigit anggota polis, ramai beranggapan Tian Chua telah mencabuli Perkara 48(1), justeru kenalah diadakan satu pilihan raya kecil di Batu.

‘‘Ada pula berpendapat dengan bahasa penghakiman yang digunakan hakim sebenarnya memberi imbasan supaya pilihan raya kecil tidak perlu diadakan.

‘‘Sepatutnya jika ini yang dihajati atau diniatkan oleh mahkamah, maka jumlah denda yang kurang daripada RM2,000 harus dikenakan sebagai denda,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Khamis lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ghazali Cha meminda hukuman ke atas Tian Chua daripada RM3,000 dan penjara enam bulan kepada denda RM2,000 atau penjara dua bulan kerana kesalahan mendatangkan kecederaan kepada seorang anggota polis atas pertimbangan mengelakkan satu lagi pilihan raya kecil.

Rais yang juga Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bagaimanapun berkata, semua pihak mempunyai hak merayu dalam tempoh 14 hari untuk membuat rayuan ke mahkamah atasan.

Pada masa sama, kata beliau, hakim juga boleh memanggil semua pihak berkaitan di dalam kamar dan mengeluarkan perintah bertulis yang lebih jelas.

‘‘Di bawah Perkara 53 Perlembagaan Persekutuan pula, Majlis Parlimen boleh membuat keputusan di atas kesamaran kehakiman yang terbabit.

‘‘Tetapi prosedur ini jarang dipakai dan pernah dianggap dalam kes Fan Yew Teng (1975) hanya sebagai proses sampingan.

‘‘Atas nas perundangan atau point of law, sebaik-baiknya Tian Chua atau Peguam Negara membuat rayuan dalam tempoh dua minggu. Namun jika Tian Chua telah membayar denda RM2,000 itu, sedikit muslihat undang-undang berlaku, jika begitu Peguam Negara harus bertindak dalam rayuan,” kata beliau.

Tiada ulasan: