Sabtu, 19 Jun 2010

Minta Pas jelaskan isu lesen arak

KOTA BHARU 19 Jun - Kerajaan Pas Kelantan diminta memperjelaskan syarat-syarat lesen restoran bukan Islam yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini sama ada mereka dibenarkan menjual arak atau tidak.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Kelantan, Wan Khairul Ikhsan Wan Muhammad berkata, sekiranya restoran tersebut dibenarkan untuk menjual minuman keras, ia bermakna lesen penjualan barangan tersebut masih dibenarkan di negeri ini.

Beliau berkata, jika itu berlaku, ini bermakna apa yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat yang meluluskan lesen arak untuk bukan Islam turut diguna pakai oleh kerajaan negeri ini.

"Saya minta Pas perjelaskan sama ada arak dibenarkan dijual dalam premis itu atau tidak, jika boleh secara macam mana, terbuka atau tertutup kerana saya ada minit mesyuarat mengenai kelulusan restoran-restoran bukan Islam oleh PBT.

"Penjelasan ini amat perlu kerana sebelum ini mereka memberitahu rakyat bahawa lesen arak tidak dikeluarkan lagi, jadi kita mahu tahu apa di sebalik kelulusan restoran bukan Islam dan apa yang dibenarkan untuk restoran itu beroperasi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah isu-isu semasa di Bangunan UMNO Kelantan di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Wan Khairul berkata, Pas sememangnya bijak memutar belitkan fakta seperti mana mereka menjaja isu judi bola sepak pada masa sekarang.

"Justeru, soal penjualan arak ini mereka perlu jelaskan, jangan hanya pandai memutar belitkan isu sedangkan diri sendiri turut terlibat dengan kelulusan benda haram.

"Jika restoran terbabit dibenarkan menjual arak, kita mahu tahu ke mana hasil cukai ini digunakan. Saya pernah menjadi ahli majlis daerah selama lima tahun, saya tahu apa yang berlaku di dalamnya sebab itu kita mahu penjelasan daripada Pas," katanya.

Katanya, sudah sampai masanya untuk rakyat Kelantan sedar bahawa Pas selama ini tidak melakukan apa-apa dan hanya beretorik sepanjang masa.

Tambahnya, pemimpin parti itu hanya menimbulkan persepsi supaya rakyat terus menjauhi Barisan Nasional (BN) dan memastikan mereka kekal memerintah di Kelantan.

Tiada ulasan: