Khamis, 17 Jun 2010

Pemimpin Cina dicabar tanding jawatan Timbalan Presiden

KUALA LUMPUR 17 Jun - Kesediaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik Timbalan Perdana Menteri daripada kaum Cina jika berjaya membentuk kerajaan perlu dimanfaatkan oleh pemimpin berketurunan Cina daripada parti itu.

Bekas Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Zamil Ibrahim sehubungan itu mencabar Naib Presiden, Dr. Lee Boon Chye; Pengarah Strategi, Tian Chua dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Chua Jui Meng menawarkan diri bagi mengisi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan PKR yang akan datang.

Katanya, ia bagi membolehkan cabang-cabang PKR di seluruh negara membuat pertimbangan adakah mereka bersedia untuk menterjemahkan idea Anwar di dalam parti sendiri terlebih dahulu.

"Jika Anwar bersedia melantik Timbalan Perdana Menteri daripada kaum Cina, beliau sudah tentu tidak bermasalah untuk merestui perkara ini.

"Idea itu datangnya daripada Anwar sendiri. Jadi lebih baik beliau memulakannya perkara itu daripada dalam partinya sendiri sebagai contoh ikutan dan kita tengoklah apa penerimaan ahli di peringkat akar umbi," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Dalam wawancara dengan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau yang disiarkan pada 26 Mei lalu, Anwar mendakwa pakatan pembangkang tidak mempunyai perasaan curiga jika ada di kalangan orang Cina layak menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Sambil memberitahu bahawa pakatan pembangkang sudah mewujudkan Kabinet bayangan, Anwar berkata, beliau telah dipilih menjadi calon Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Zamil berkata, seandainya hasrat memberikan jawatan nombor dua kepada bukan Melayu gagal dilaksanakan dalam PKR, Anwar sepatutnya menghentikan omongan kosong beliau di peringkat Persekutuan.

Katanya, kegagalan itu juga akan menunjukkan wajah sebenar Anwar bahawa beliau sebenarnya tidak ikhlas dalam berpolitik dan membuat keputusan tanpa mendengar pandangan ahli.

"Kerap sangat kita mendengar Anwar kononnya mengamalkan keterbukaan politik, kalau benar terbuka inilah masa yang sesuai.

"Kita sebagai rakyat juga mahu melihat apakah beliau berpegang pada kata-katanya.

"Apa salahnya mempunyai Timbalan Presiden dari kaum Cina kerana PKR sendiri tidak pernah mengaku mereka parti Melayu," tegasnya.

Tiada ulasan: