Sabtu, 19 Jun 2010

Isu Tian Chua : BN teliti tafsiran perlembagaan

KUALA LUMPUR 19 Jun - Barisan Nasional (BN) akan meneliti tafsiran perlembagaan dan mencari penyelesaian terbaik berhubung keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pada masa ini terdapat dua tafsiran yang berbeza terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah kepada penyandang kerusi itu, Tian Chua daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Kalau kita tengok pada penghakiman yang dibuat hakim, ia mirip untuk tidak diadakan pilihan raya kecil sebab dia kata ia membazirkan kewangan rakyat dan sebagainya.

"Bagaimanapun nanti kita tengok pada tafsiran dan kaedah yang terbaik untuk menyelesaikan perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Progresif Penduduk (PPP) Ke-57 di sini hari ini.

Khamis lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ghazali Cha meminda hukuman ke atas Tian Chua daripada RM3,000 dan penjara enam bulan kepada denda RM2,000 atau penjara dua bulan kerana kesalahan mendatangkan kecederaan kepada seorang anggota polis atas pertimbangan mengelakkan satu lagi pilihan raya kecil.

Bagaimanapun semalam, Pengerusi DAP yang juga peguam, Karpal Singh berkata kerusi Parlimen itu perlu diisytiharkan kosong mengikut Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan: