Sabtu, 19 Jun 2010

Pemuda UMNO perlu contohi veteran

KLUANG 19 Jun - Pemuda UMNO perlu mencontohi ahli-ahli UMNO terdahulu yang ikhlas berjuang membela agama, bangsa dan negara tanpa mengharapkan ganjaran.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Idris Haron berkata, sifat ikhlas itu perlu diteladani Pemuda UMNO hari ini sebagai tanda terima kasih atas nikmat kemerdekaan negara hasil usaha pejuang terdahulu.

"Jika ada pulangan atau pun ganjaran ia adalah secara kebetulan bukannya sebagai prasyarat untuk kesinambungan perjuangan dalam Pemuda hari ini," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Kluang di sini hari ini.

Idris berkata, Pemuda UMNO harus membuka minda, kembali kepada asas perjuangan parti dan meningkatkan keupayaan diri dengan ilmu pengetahuan supaya potensi diri dapat diukur dengan tepat bukan sekadar memuji diri sendiri.

"Pemuda tak boleh kata kita kuat tapi tak diuji dan tiada ukuran yang tepat. Biar rakyat di luar sana yang kata Pemuda UMNO kuat," katanya.

Beliau juga meminta Pemuda UMNO supaya tidak menjadi terlalu emosional.

Tiada ulasan: