Sabtu, 19 Jun 2010

Tumpukan pentadbiran, penyusunan jentera BN

KUALA KRAI 19 Jun - Pilihan raya awal tidak perlu walaupun sokongan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin meningkat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (gambar) berkata, tumpuan kini seharusnya diberi terhadap pentadbiran kerajaan dan penyusunan jentera parti.

Menurut beliau, kenyataan pemimpin pakatan pembangkang bahawa mereka bersedia menghadapi pilihan raya umum hanya menunjukkan mereka lebih berminat berpolitik bagi menunaikan hasrat memerintah negara ini.

"Perdana Menteri memang ada kuasa untuk tentukan bila pilihan raya umum akan diadakan tetapi itu bukanlah keperluan kita sekarang.

"Buat masa ini adalah lebih baik kerajaan tumpukan terhadap peningkatan kualiti pentadbiran dan untuk UMNO sendiri, kita mesti susun jentera," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Krai di sini hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ramzi Abdul Rahman dan wakil Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Norzula Mat Diah.

Sementara itu Bernama melaporkan, sebelum tiba ke Kuala Krai bagi majlis perasmian parti, Mohd. Shafie sempat membantu mangsa nahas melibatkan polis pengiring bermotosikal dekat Pulai Chondong.

Tiada ulasan: