Selasa, 22 Jun 2010

Kimma ikrar sokong BN

KUALA LUMPUR 22 Jun – Barisan kepimpinan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) yang baru berikrar akan terus memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) untuk terus menerajui pemerintahan negara ini.

Presidennya, Datuk Syed Ibrahim Kader yang diisytihar menang tanpa bertanding bagi jawatan tersebut juga mengumumkan bagi Kimma akan membuat permohonan untuk menyertai BN buat kali ketujuh.

Beliau berkata, permohonan itu antara usul yang diputuskan Majlis Tertinggi (MT) Kimma pada mesyuarat pemilihan jawatan Presiden dan Timbalan Presidennya bagi tahun 2010/2012.

‘‘Kimma masih tidak putus asa untuk terus minta dipertimbangkan menyertai BN sebagai membuktikan kesetiaan terhadap BN sejak ditubuhkan pada tahun 1976,’’ katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kimma di Jalan Masjid India di sini semalam.

Sebelum itu, Setiausaha Agung Kimma, Harisrajudin Alaudin mengumumkan Mohammed Mosin Abdul Razak menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden.

Syed Ibrahim berkata, Kimma sebelum ini telah memberi tempoh selama sepuluh hari yang tamat hari ini bagi penyerahan borang pencalonan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

“Kimma memberikan peluang ini supaya sesiapa sahaja boleh bertanding bagi dua jawatan ini untuk memuaskan hati semua pihak,”katanya.

Beliau berkata, pemilihan dua jawatan ini dilakukan sebelum mesyuarat perwakilan Kimma yang dijadualkan pada 25 Julai nanti.

Syed Ibrahim berkata, pihaknya juga akan menyerahkan usul yang diputuskan dalam mesyuarat MT itu secepat yang mungkin sebelum tarikh mesyuarat perwakilan.

Tiada ulasan: