Ahad, 20 Jun 2010

Hormati keputusan hakim - Nazri

PADANG RENGAS 20 Jun - Dewan Rakyat tidak perlu memutuskan sama ada Tian Chua hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Batu selepas didenda RM2,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lepas kerana kesalahan mencederakan anggota polis tiga tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, semua pihak sebaliknya perlu menghormati keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ghazali Cha meminda hukuman ke atas Tian Chua atas pertimbangan mengelakkan satu lagi pilihan raya kecil.

Pada Khamis lalu, hakim berkenaan meminda hukuman terhadap Ahli Parlimen Batu itu daripada RM3,000 dan penjara enam bulan kepada denda RM2,000 atau penjara dua bulan

''Dalam hal ini, Parlimen tidak perlu membuat keputusan kerana yang berhak untuk membuat interpretasi undang-undang ialah hakim.

''Keputusan hakim itu mencerminkan keputusan mahkamah dan sama ada salah atau betul, kita mesti menghormati keputusan hakim yang menjatuhkan hukuman tersebut," katanya selepas mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas di sini hari ini.

Sebelum ini, Karpal Singh mendakwa Tian Chua hilang kelayakan walaupun hukuman denda ke atas beliau dikurangkan.

Beliau berpendapat, Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan secara jelasnya menyatakan seseorang ahli Parlimen hilang kelayakannya jika disabitkan kesalahan dan dihukum penjara setahun atau didenda RM2,000 atau lebih serta tidak mendapat pengampunan.

Dalam pada itu Mohamed Nazri memberitahu, cadangan membina bangunan Parlimen baru masih dalam peringkat pertimbangan dan semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) boleh memberikan maklum balas berhubung perkara itu.

Tiada ulasan: