Sabtu, 19 Jun 2010

DAP berselindung di sebalik demokrasi - Ali

KUALA LUMPUR 19 Jun - Tindakan Pas dan terbaru DAP meletakkan syarat atau aku janji untuk setiap ahlinya menunjukkan kedua-dua parti itu hanya berselindung di sebalik prinsip demokrasi di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, tindakan sedemikian dilihat sebagai satu penindasan kerana kedua-dua parti itu tidak memberi kebebasan kepada ahlinya.

"Tindakan yang dilakukan oleh Pas dan terbaru DAP membuktikan kedua-dua parti itu bukanlah sebuah parti yang demokratik sebaliknya hanya berselindung di sebalik prinsip tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Cheras di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.

Beliau mengulas tindakan DAP yang mahu menguatkuasakan perjanjian yang mensyaratkan setiap wakil rakyatnya membayar ganti rugi sebanyak RM5 juta jika bertindak keluar daripada parti itu.

Selain DAP, Pas juga telah meletakkan syarat di mana wakil rakyatnya perlu mengikrarkan baiah atau sumpah taat setia yang mana sekiranya keluar parti akan jatuh talak tiga terhadap isteri mereka.

Mohd. Ali berkata, tindakan DAP menguatkuasakan syarat ganti rugi RM5 juta itu menunjukkan parti tersebut merupakan sebuah parti yang mengamalkan rasuah.

"Syarat ini amat menghairankan saya kerana setiap individu telah diberi kebebasan untuk memilih mana-mana parti yang ingin mereka sertai. Jadi, mereka bebas untuk masuk atau keluar," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, K. Keshvinder Singh keluar DAP membuktikan parti itu merupakan sebuah parti yang autokratik.

"DAP jelas tidak memberi peluang kepada wakil rakyatnya untuk bersuara dan menyatakan kebenaran. Sehubungan itu, ramai ahlinya bertindak keluar parti menjadi wakil rakyat Bebas dan menyokong Barisan Nasional (BN)," katanya.

Tiada ulasan: