Isnin, 21 Jun 2010

DAP tetap sokong Anwar

KUALA LUMPUR 21 Jun – DAP tetap dengan pendirian untuk terus menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang.

Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata, kedudukan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu selaku ‘orang nombor satu’ dalam pakatan pembangkang tidak perlu dipertikaikan.

Justeru kata beliau, dakwaan yang mengatakan DAP kini mula mengorak langkah untuk mencari pengganti Anwar yang mungkin akan dihukum penjara kerana kes liwat adalah tidak berasas.

‘‘Ketua Pembangkang adalah Anwar dan DAP tidak mempertikaikannya,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mengatakan DAP kini mula mencari pemimpin baru untuk memimpin pakatan pembangkang bagi menggantikan Anwar yang mungkin dipenjara kerana kes liwat.

Kata Zulkifli dalam entri terbarunya di dalam blog beliau, http://zul4kulim.blogspot.com, calon utama yang disokong serta dipromosikan DAP sebagai Ketua Pembangkang yang baru ialah Datuk Zaid Ibrahim.

Dakwanya, ini kerana Zaid dilihat mempunyai perwatakan yang sama dengan Anwar iaitu liberal serta tidak tebal semangat Islam dan kemelayuannya.

DAP juga, katanya, mahukan seorang ahli Parlimen daripada parti itu mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada Zaid mencuba nasib sekali lagi untuk menjadi ahli Parlimen.

Tiada ulasan: