Khamis, 17 Jun 2010

PRU boleh diadakan jika ekonomi,politik stabil

KUALA LUMPUR 17 Jun - Ekonomi yang pulih sepenuhnya dan politik yang stabil merupakan dua faktor utama untuk kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh mengadakan pilihan raya umum.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, faktor tersebut perlu benar-benar berlaku untuk membolehkan BN mencatatkan kemenangan majoriti.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan tidak perlu tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat kerana bimbang fokus kerajaan untuk membawa rakyat dan negara ke arah yang lebih maju akan tersasar.

"Kita tidak boleh bersandarkan pada tinjauan semata-mata kerana tinjauan tersebut mungkin hanya untuk tempoh dan atas alasan-alasan tertentu sahaja, bukan dilihat secara keseluruhan.

"Tambahan, untuk menang besar, kerajaan BN memerlukan jaminan sokongan daripada rakyat serta memerlukan dua pertiga kerusi Dewan Rakyat,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau awal mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memaklumkan kerajaan tidak akan membubarkan Parlimen bagi mengadakan pilihan raya umum akan datang semata-semata berdasarkan pendapat bahawa tahap kepuasan rakyat terhadap kepimpinannya semakin meningkat ketika ini.

Mohd. Azizuddin berkata, berhubung nilai kejutan di sebalik tarikh pilihan raya itu, jika Perdana Menteri mengumumkan tarikh pilihan raya dalam masa terdekat pun sudah cukup untuk memberi kejutan kepada pihak pembangkang.

Namun katanya, dalam suasana politik hari ini pembangkang sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan oleh kerajaan BN.

"Perkara itu harus dibimbangi oleh semua parti komponen BN kerana itu adalah kekangan untuk BN menang.

"Kecuali BN merasakan ada isu-isu tertentu yang membolehkan mereka menarik sokongan semua kaum dalam negara, itu tidak mustahil,'' ujar beliau.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugam Pandian turut berpendapat dua faktor utama itu akan memainkan peranan penting untuk BN berjaya.

Selain itu, kata beliau, kerajaan juga perlu mengambil kira kejayaan di sebalik dasar-dasar yang diumumkan dalam tempoh setahun ini.

Ia termasuklah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), Aktiviti Utama Ekonomi Negara (NKEA) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Kata beliau, sekiranya semua gagasan itu tercapai dengan jaya, tanpa perlu menunggu Perdana Menteri wajar mengemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk pembubaran Parlimen.

Menurut Sivamurugam, antara aspek yang perlu BN ambil perhatian ialah Perdana Menteri perlu yakin bahawa rakyat bukan sahaja menerima beliau malah mereka perlu menerima BN secara keseluruhan.

"Sehubungan itu BN perlu memperbaiki keserasian di antara mereka dan paling penting di kalangan komponen BN itu sendiri,'' jelas beliau.

Tiada ulasan: