Sabtu, 22 Mei 2010

ADUN Kerdau kembali kritikal

KUANTAN 22 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Datuk Zaharuddin Kassim (gambar), 63, yang baru sahaja dipindahkan ke wad biasa di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini, dimasukkan semula ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas tiba-tiba koma.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said memberitahu, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh anak wakil rakyat tersebut menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Salah seorang anaknya memaklumkan bapa mereka tidak sedarkan diri dan koma," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Ismail, doktor yang merawatnya juga memaklumkan bahawa jantung dan paru-paru Zaharuddin kini berada dalam keadaan lemah.

Zaharuddin sebelum ini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh kerana penyakit ulser dan telah menjalani pembedahan.

Bagaimanapun doktor yang merawatnya turut mengesan beliau mengalami komplikasi jantung sebelum memindahkannya ke IJN pada 9 Mei lalu.

Selepas mendapat rawatan di IJN, tahap kesihatannya semakin pulih dan dikatakan boleh berkomunikasi.

Tiada ulasan: