Selasa, 25 Mei 2010

Vell Paari tidak berhak salahkan UMNO - Mugilan

KUALA LUMPUR 25 Mei - Beberapa bekas pemimpin MIC yang dipecat daripada parti itu menganggap anak Presiden MIC, S. Vell Paari sebagai seorang yang tidak matang dan tidak berhak menyalahkan UMNO dalam kewujudan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS).

Bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan berkata, GAS telah diilhamkan olehnya tanpa campur tangan mana-mana pihak dan beliau tidak memerlukan fikiran pihak ketiga kerana mampu berfikir secara rasional demi kepentingan parti.

Menurutnya, sikap menuding jari kepada pihak ketiga membuktikan bahawa Presiden parti, Datuk Seri S. Samy Vellu dan anaknya mula bimbang dengan sokongan yang beliau terima.

''Bagi mengalihkan perhatian dan sokongan ahli MIC daripada saya, Vell Paari sedang berusaha sedaya upaya menyalahkan pihak ketiga.

''Saya hendak nasihatkan beliau, jangan salahkan pentas kalau tak tahu menari. Akur dengan kelemahan diri dan insaf. Parti MIC lebih penting daripada kepentingan diri,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mugilan berkata, apa yang berlaku di dalam MIC bukanlah salah UMNO seperti mana didakwa oleh Vell Paari.

''MIC menjadi lemah kerana kepimpinannya yang hanya mementingkan diri dan lemah dari segi strategi politik dan tidak ada hala tuju,'' ujarnya.

Dalam pada itu, bekas Ketua Bahagian MIC Petaling Jaya Selatan, V. Subramaniam yang lebih dikenali sebagai 'Barat Maniam' berkata, Vell Paari tidak tahu apa-apa mengenai parti itu kerana tidak pernah bertanding untuk menjawat jawatan dalam MIC.

Menurutnya, semua jawatan yang dipegang oleh Vell Paari telah diberi oleh Samy Vellu, oleh itu beliau tidak berhak untuk memberi komen mengenai sesiapa atau parti lain.

''Dakwaan beliau mengenai UMNO adalah salah sama sekali. UMNO mahupun parti-parti komponen BN lain tidak pernah mencampuri urusan dalaman MIC sejak dulu lagi.

''Kenapa Vell Paari menyalahkan UMNO dalam kewujudan GAS? Dakwaan yang tidak berasas itu telah pun menunjukkan bahawa beliau tidak matang dalam memberi komen,'' katanya.

Dalam pada itu, bekas ahli CWC MIC, G. Kumar Aamaan menegaskan perhimpunan GAS yang akan diadakan pada akhir bulan ini adalah hari penentuan bagi kedua-dua anak beranak itu.

''Vell Paari sudah mula gelabah dengan perhimpunan GAS. Oleh itu, beliau mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas dengan mengaitkan UMNO.

''Kami tidak pernah berbincang dengan UMNO mengenai perhimpunan ini seperti yang didakwa oleh Vell Paari,'' katanya.

Menurutnya, Vell Paari yang merupakan penasihat Pergerakan Pemuda MIC tidak pernah berjuang untuk pergerakan itu atau bagi kesejahteraan parti tersebut.

Sementara itu, seorang lagi bekas ahli CWC, KP Samy berkata, Vell Paari tidak layak untuk memberi komen mengenai sesiapa kerana beliau bukan pemimpin tertinggi MIC.

''Kami difahamkan Vell Paari dipilih sebagai ahli CWC pada mesyuarat terakhir CWC yang diadakan dua minggu lalu. Saya berada pada mesyuarat itu tetapi kenapa saya tidak tahu mengenai pelantikan itu?

''Samy Vellu tidak bincang dengan ahli-ahli CWC untuk memilih anaknya sebagai ahli CWC. Ini bukan parti keluarganya untuk memilih sanak saudara dan anak beranak sebagai majlis tertinggi parti,'' ujarnya.

Tiada ulasan: