Jumaat, 28 Mei 2010

'Buktikan kami disogok'

PULAU PINANG 28 Mei - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar menunjukkan bukti kononnya wakil- wakil rakyat pembangkang yang melompat parti disogok dan diberikan kontrak bernilai jutaan ringgit.

Sambil menyifatkan ia adalah satu pembohongan, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, beliau tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan mahkamah sekiranya Anwar gagal berbuat demikian.

Pada masa sama, bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang itu turut menasihatkan Anwar supaya berhenti membuat pembohongan dan tohmahan kepada mereka, sebaliknya memberi tumpuan kepada masalah serta kes dihadapinya sekarang.

"Dia tidak layak nak cakap pasal etika, moral atau pun penyelewengan kerana keperibadiannya sendiri dipersoalkan. Jadi sudah-sudahlah bercakap bohong, jaga kes liwat dan dia punya masalah terlebih dahulu.

"Tak perlulah buat tuduhan begitu kerana dia sendiri tahu yang kami semua ini keluar parti sebab dah meluat, jelak dengan cara kepimpinannya yang sudah tersasar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Anwar dalam blognya, anwaribrahimblog.com di bawah entri 'Rasuah politik di sebalik Wakil Bebas Mesra BN' mendakwa wakil rakyat pembangkang yang melompat parti disogok dan diberikan kontrak bernilai jutaan ringgit.

Beliau juga mendakwa mempunyai bukti kukuh termasuk penglibatan pimpinan UMNO dan ejen-ejennya yang terlibat menganugerahkan rasuah politik kepada kumpulan yang digelarnya sebagai 'Wakil Bebas Mesra BN'.

Dalam pada itu, selain Zahrain, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng turut mencabar Anwar untuk mengemukakan bukti sekali gus mahu beliau mendedahkan perkara itu pada sidang Parlimen yang akan datang.

"Saya pun tengah tunggu dia tunjukkan bukti kerana perkara ini tidak boleh cakap sesuka hati kerana ia tidak adil kepada mana-mana wakil rakyat yang keluar parti, malah ia akan memberi kesan tidak baik," ujarnya.

Tiada ulasan: