Khamis, 27 Mei 2010

MT perlu bincang isu Vell Paari, Mohan

KUALA LUMPUR 27 Mei - Mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO perlu diadakan bagi membincangkan tuduhan anak Presiden MIC, S. Vell Paari dan Ketua Pemuda parti itu, T. Mohan bahawa pemimpin UMNO terbabit dalam Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS).

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, MT perlu mengambil sikap serius dengan tuduhan itu memandangkan Datuk Seri S. Samy Vellu sendiri dilihat seperti menyokong segala dakwaan yang telah dibuat oleh kedua-dua individu terbabit.

''UMNO tidak perlu sekadar mengeluarkan kenyataan menerusi media, sebaliknya MT perlu segera mengadakan mesyuarat khas berhubung isu ini.

''Jika perlu, usul boleh dikemukakan kepada Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) supaya Vell Paari dan Mohan disingkirkan atas keputusan majoriti,'' katanya dalam bloghttp://umnobahagiancheras.blogspot.com hari ini.

Dalam pada itu, Syed Ali meluahkan perasaan kesal dengan sikap Samy Vellu yang berdiam diri dengan perbuatan Vell Paari yang semakin angkuh untuk membuat ugutan secara terbuka terhadap UMNO.

''Sikap membisu Samy Vellu menunjukkan seolah-olah beliau juga bersubahat dengan Vell Paari untuk mengecam pemimpin UMNO," tegasnya.

Katanya, terdapat kemungkinan Samy Vellu memusuhi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menggunakan anaknya untuk membuat tuduhan bagi membangkitkan kemarahan pemimpin UMNO.

''Kita tidak boleh pandang ringan isu berkenaan. Barangkali ini adalah muslihat yang dirancang untuk menimbulkan kebencian rakyat pelbagai kaum terhadap UMNO,'' ujarnya.

Tambah beliau, UMNO tidak perlu takut dengan pengundi India kerana pengaruh MIC dan presidennya sudah merosot.

''Lagipun pada pilihan raya umum lalu banyak calon MIC yang tewas termasuk Samy Vellu dan ini membuktikan pengundi India sudah bijak membuat penilaian,'' katanya.

Tiada ulasan: