Ahad, 23 Mei 2010

Ahli CWC MIC diugut jika lancarkan GAS

KUALA LUMPUR 23 Mei - ''Batalkan pelancaran Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) atau bakal berhadapan dengan kekecohan''.

Itu adalah panggilan berbaur ugutan yang didakwa diterima oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, G. Kumar Aamaan daripada beberapa individu yang tidak dikenali.

Menurut Kumar Aamaan, bermula pagi ini beliau menerima lebih daripada tiga panggilan menggunakan 'nombor peribadi' yang berbaur ugutan itu.

''Saya akan membuat laporan polis sebagai langkah keselamatan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai perkembangan terkini MIC setelah bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan dipecat daripada parti itu apabila mendesak Presiden, Datuk Seri S. Samy Vellu segera meletak jawatan.

Berikutan itu, Mugilan menubuhkan GAS yang akan dilancarkan pada 30 Mei ini dengan jangkaan dihadiri kira-kira 7,000 orang yang mempunyai hasrat sama iaitu mendesak Samy Vellu segera berundur.

Kumar Aamaan merupakan salah seorang ahli CWC parti itu yang menyokong tindakan Mugilan mendesak peletakan jawatan Samy Vellu dan penubuhan GAS.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap MIC dapat menyelesaikan segera kemelut kepimpinan yang melanda parti itu

Perdana Menteri berkata, sebagai salah sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN), kepimpinan MIC yang utuh dapat memberi kebaikan kepada BN untuk meraih keyakinan dan sokongan rakyat.

Kumar Aamaan berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memudahkan segala urusan berkaitan pelancaran GAS yang jelas bukan bertujuan menghuru-harakan keadaan tetapi sebaliknya merupakan protes aman masyarakat India terhadap Samy Vellu.

''Saya hendak tegaskan bahawa kewujudan GAS bukannya usaha untuk menubuhkan parti baru bagi kaum India, kita ikhlas dan jujur serta akan tetap setia bersama MIC dan BN.

''Malah, kita amat menghargai dan menyanjung jasa-jasa Samy Vellu terhadap kaum India sebelum ini, cuma tindakan ini (desakan meletak jawatan) adalah bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada MIC," katanya.

Kumar Aamaan menarik perhatian daripada kira-kira 600,000 orang ahli MIC kini, hanya 5,000 orang menghadiri Perhimpunan Agung MIC untuk memilih kepimpinan.

''Apa jadi kepada hasrat ahli lain yang mahukan Samy Vellu berundur, malah pada masa ini jumlah kaum India di negara ini telah mencecah tiga juta orang, mengapa dan kenapa mereka ini tidak menyokong penuh MIC sebaliknya memilih parti lain.

''Semua ini berlaku kerana mereka bukannya hilang kepercayaan kepada parti tetapi kepada kepimpinan Samy Vellu yang berada pada tahap tepu setelah 14 penggal menerajui parti," katanya.

Sementara itu seorang lagi ahli CWC parti itu, KP. Samy berkata, pada masa ini Samy Vellu bukannya menjadi aset kepada BN tetapi lebih kepada menjadi liabiliti.

Katanya, pengunduran Samy Vellu amat perlu untuk menstabilkan parti, sekali gus menarik kembali sokongan kaum India terhadap MIC.

''Parti-parti pembangkang sudah lama bergerak mengukuhkan pengaruh mereka di kubu-kubu kuat BN, tetapi MIC sebagai parti kaum India masih lagi tidak agresif berbuat demikian.

''Tempoh masa yang kononnya Samy Vellu akan meletak jawatan itu terlalu hampir dengan Pilihan Raya Umum ke-13, saya amat bimbang nanti MIC bukannya bertambah kuat selepas itu tetapi sebaliknya akan tidak disokong,'' katanya.

Tiada ulasan: