Khamis, 20 Mei 2010

Samy Vellu janji undur sejak 2006

KUALA LUMPUR 20 Mei – Bekas Ketua Bahagian MIC Petaling Jaya Selatan, V. Subramaniam hari ini meminta ahli parti itu tidak terpedaya dengan janji Datuk Seri S. Samy Vellu untuk berundur kerana ia sekadar gimik sahaja.

Katanya, sejak 2006, Presiden MIC itu telah berkali-kali memberitahu beliau akan berundur tetapi semua itu hanya untuk meredakan desakan yang dibuat oleh sebahagian besar ahli parti itu.

Menurutnya, keadaan itu membuatkan ahli-ahli semakin bosan sehingga ramai yang beralih arah kerana tidak lagi mahu dipimpin oleh bekas Menteri Kerja Raya tersebut.

Subramaniam yang lebih dikenali sebagai Barat Maniam berkata, sehubungan itu, tindakan Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan mendesak Samy Vellu berundur adalah tepat pada masanya demi menyelamatkan parti.

“Sejak 2006, ramai ahli tidak lagi mempercayai kata-kata beliau untuk berundur kerana ia hanya janji kosong.

“Apabila beliau mengumumkan tarikh baru untuk berundur, ia menjadi bahan jenaka kerana ahli semakin muak mendengarnya.

“Mugilan menyuarakan perkara yang benar dan beliau telah mewakili suara akar umbi,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Subramaniam berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Mugilan mendesak Samy Vellu meletakkan jawatan Presiden MIC sebelum akhir tahun ini kerana kepimpinannya sudah tidak relevan dengan masyarakat India.

Baginya, Samy Vellu perlu berundur segera bagi memberi lebih banyak masa untuk penggantinya menyelesaikan pelbagai masalah dalam parti bagi mempersiapkan MIC menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

“Isu Maika Holdings, Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dan Kolej Perubatan AIMST tidak pernah selesai sehingga ke hari ini,” katanya.

Tiada ulasan: