Khamis, 27 Mei 2010

Tunggu minggu depan - Syed Sobri

LOR SETAR 27 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim mengesahkan akan membuat pengumuman rasmi mengenai kedudukannya sebagai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) pada minggu depan.

Katanya, beliau akan mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan sama ada akan meletakkan jawatan sebagai ADUN atau mempunyai alternatif lain berikutan isu terbaru yang melibatkan jawatannya sebagai wakil rakyat itu.

''Tunggu saya umum minggu depan,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesahihan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) di kalangan warga media sejak malam tadi mengatakan beliau akan membuat pengumuman rasmi mengenai kedudukannya sebagai wakil rakyat BN.

Syed Sobri bagaimanapun tidak menjelaskan sebab beliau mahu mengumumkan kedudukannya sebagai wakil rakyat BN itu.

ADUN Kuala Nerang itu sebelum ini pernah dikaitkan dengan isu muflis tetapi pada penghujung 2008, beliau menafikan dakwaan berkenaan kerana telah menjelaskan hutang kepada pihak bank.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Syed Sobri menewaskan calon Pas, Zawawi Ahmad dengan majoriti 805 undi.

Tiada ulasan: