Ahad, 30 Mei 2010

Mahkamah terus diperlekeh, menteri jadi mangsa


Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng (kanan) berbual mesra pada majlis ceramah perdana pakatan pembangkang di Padang Perdana, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 30 Mei - Selepas menyifatkan hakim yang mengendalikan kes liwatnya sebagai bahalol, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menggunakan pentas politik untuk memperlekehkan institusi kehakiman negara ini.

Sambil mengulangi apa yang disebutnya pada malam kelmarin, Anwar dalam Ceramah Perdana Pakatan Rakyat di Padang Perdana di sini malam tadi, menuduh pula Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkan maruahnya.

Beliau mendakwa Jamil Khir mengarahkan pihak pendakwaan tidak mengambil tindakan ketika permohonan qazaf dilakukan terhadap bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Syariah.

"Doktor periksa 'ekzos' tapi tidak ada apa, kita bagi tahu mahkamah tidak ada kesan apa pada 'ekzos' tetapi hakim kata 'ya betul tetapi mungkin ada yang lain', apa benda ini, ini semua kerja UMNO yang mahu terus mengaibkan saya dan keluarga saya," katanya.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Hadir sama ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggalkan majlis lebih awal tanpa sempat menyampaikan ceramah kerana kurang sihat.

Semalam, Anwar dilaporkan membuat kenyataan mengejutkan dengan menggambarkan hakim yang mendengar kes liwatnya sebagai 'bahalol' kerana meneruskan perbicaraan itu.

Beliau turut menyifatkan badan kehakiman negara sebagai 'rosak dan punah' serta masih gagal dipulihkan kerana diterajui oleh individu-individu yang tidak layak.

Sementara itu, Anwar terus berdolak dalik untuk mengemukakan bukti bahawa wakil-wakil rakyat yang keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini menerima ganjaran RM2 juta dan kontrak lumayan.

Katanya, bukti tersebut akan dikemukakan kepada khalayak sekiranya UMNO menafikan bahawa mereka membayar kepada wakil rakyat terbabit.

"Saya ada keterangan dan bukti, kita akan bagi pada masa yang sesuai. Saya nak tunggu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kata bohong, kemudian saya akan bagi satu demi satu macam filem hindustan.

"Kalau saya kata ada, bermakna ada. Tetapi bukti itu tiada di rumah saya, tiada di pejabat saya, tiada dalam beg saya... tetapi ada," katanya

Tiada ulasan: