Sabtu, 22 Mei 2010

Ahli UMNO hadir kursus induksi

PUTRAJAYA 22 Mei - Semua ahli baru UMNO dicadang supaya menghadiri kursus induksi bertujuan menerapkan nilai-nilai perjuangan parti itu untuk agama, bangsa dan negara.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kursus berkenaan perlu diadakan untuk tempoh dua hari dan ia akan digunakan sebagai platform bagi menjelaskan maklumat mengenai Perlembagaan UMNO, tugas dan tanggungjawab ahli kepada parti itu serta Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, cadangan tersebut akan dikemukakan pada Mesyuarat Pengurusan UMNO yang akan bersidang Rabu ini.

"Saya akan memberi cadangan kepada pihak pengurusan supaya ahli-ahli baru yang diterima masuk menjalani kursus induksi keahlian UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Cawangan Bunga Anggerik, di Presint 8, di sini hari ini.

Tengku Adnan berkata semua cawangan di seluruh negara mula bermesyuarat pada 1 Mei hingga 30 Mei ini.

Tiada ulasan: