Khamis, 27 Mei 2010

Permit sudah dapat, perhimpunan GAS tetap diteruskan

PETALING JAYA 27 Mei - Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu didakwa cuba memberi tekanan terhadap pengurusan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) supaya penganjuran Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) yang dijadualkan Ahad ini tidak dapat dilangsungkan.

Bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC yang dipecat oleh Samy Vellu, V. Mugilan berkata, tindakan itu jelas menunjukkan Presiden MIC tersebut bimbang dengan GAS yang dijangka dihadiri oleh ribuan penyokong.

"Saya masih berbincang dengan PWTC namun perhimpunan itu tetap akan diteruskan kerana sudah mendapat permit polis malah kami juga mempunyai pelan B jika berlaku sesuatu yang tidak diingini,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir ialah dua anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC yang turut dipecat, G. Kumar Aamaan dan KP Samy serta Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, P. Palaniappan.

Mengulas lanjut, Mugilan berkata, beliau juga menerima maklumat ada pengusaha bas dari Pulau Pinang yang diberi amaran supaya tidak membawa penyokong ke ibu negara pada tarikh perhimpunan itu diadakan.

Beliau turut mendakwa ada maklumat mengatakan terdapat usaha untuk menghalang ahli menghadiri perhimpunan GAS tersebut dengan memberikan mereka sejumlah wang.

Ketika ditanya sama ada beliau akan melaporkan kepada pihak berkuasa tentang pemberian wang tersebut, Mugilan berkata, ia tidak perlu.

"Itulah cara orang yang tidak matang berpolitik, jadi tidak ada apa yang perlu dilaporkan.

"Malah saya menasihati mereka (ahli) jika diberi wang, ambil sahaja kerana itu hak mereka tetapi datang juga perhimpunan Ahad ini," katanya.

Sementara itu, ditanya tentang kenyataan Vell Paari bahawa beliau akan berundur sekiranya ayahnya berbuat demikian, Mugilan berkata, itu merupakan satu jenaka besar.

"Saya cabar Vell Paari, lepas ayahnya letak jawatan, masuklah melalui pintu depan, kalau benar dia seorang yang ada kredibiliti, sudah pasti masyarakat India akan memilihnya," katanya.

Tiada ulasan: