Khamis, 13 Mei 2010

Nik Aziz ‘ulama angguk’ kepada DAP

KUALA LUMPUR 13 Mei – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disifatkan sebagai ‘ulama angguk’ kerana merelakan tindakan DAP mempermainkan isu Allah pada kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, Pas khususnya Nik Abdul Aziz hanya menjadi ‘pak sanggup’ dan terus bersubahat dengan DAP yang menjadikan kalimah Allah sebagai modal kempen pilihan raya.

“Walaupun penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam pernah ditentang hebat umat Islam sebelum ini, Pas masih tetap bersekongkol dengan DAP.

“Pas jelas telah merelakan kemurnian agama Islam dijadikan mainan kempen dan bahan untuk memancing undi,’’ katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, sepatutnya Nik Abdul Aziz yang dianggap sebagai tok guru atau ulama oleh penyokong Pas menasihati pemimpin DAP supaya jangan mempolitikkan isu agama termasuk kalimah Allah.

“Kita khuatir pengertian kalimah Allah itu akan disalahtafsir oleh rakyat jika terus dimainkan dalam gelanggang politik.

“Sebelum ini Nik Abdul Aziz begitu lantang mempersoalkan pihak yang memperlekeh kedudukan agama Islam tetapi kini sebaliknya yang berlaku,’’ katanya.

Syed Ali berkata, Pas dan DAP perlu memahami bahawa majoriti pengundi di Parlimen Sibu adalah berketurunan Cina manakala Melayu dan bumiputera lain hanya minoriti.

Tiada ulasan: