Khamis, 6 Mei 2010

Zaid digesa mohon maaf secara terbuka kepada Sultan

KUALA LUMPUR 6 Mei - Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Selangor hari ini mendesak Penyelaras pakatan pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam tempoh 24 jam.

Ketua Wira Perkasa Malaysia, Armand Azha Abu Hanifah berkata, kenyataan yang dibuat oleh Zaid itu adalah melampau dan tidak menghormati institusi Kesultanan Melayu.

Sehubungan itu, katanya, gabungan NGO Selangor turut mendesak kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengambil tindakan ke atas Zaid.

"Jika kepimpinan tertinggi PKR tidak mengambil tindakan terhadap beliau, kami akan menganggap kenyataan Zaid adalah pendirian rasmi dari PKR dan keseluruhan kerajaan pakatan pembangkang,'' katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan ibu pejabat PKR di sini hari ini bagi membidas kenyataan Zaid dalam blognya yang mempersendakan titah perintah Sultan Selangor supaya tidak menggunakan masjid dan surau sebagai tempat berpolitik.

Dalam kenyataan itu, Zaid mendakwa kenyataan titah Sultan Selangor bersifat peribadi dan bukan arahan rasmi kerana tidak merujuk kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Tambah Zaid, perlembagaan menetapkan sultan tidak boleh mengeluarkan perintah secara terus, sebaliknya disalurkan melalui Majlis Agama Islam negeri terlebih dahulu dan bermesyuarat sebelum mewartakan keputusan itu sebagai peraturan sah.

Sementara itu, Penasihat Undang-undang Majlis Gabungan NGO Pembela Negara, Mohd. Khairul Azam Abd. Aziz menyifatkan pandangan Zaid sebagai seorang peguam adalah salah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa sultan adalah ketua kepada Hal Ehwal Agama Islam di negeri yang bersultan.

"Menurut perlembagaan, sultan sememangnya bertindak ikut nasihat kecuali dalam beberapa hal sultan di negeri boleh bertindak secara bersendirian mengikut budi bicara baginda tanpa perlu merujuk kepada sesiapa.

"Apa-apa tugas baginda sebagai Ketua Agama Islam, baginda boleh bertindak secara bersendirian dengan budi bicaranya,'' katanya.

Sejumlah 30 orang yang terdiri daripada 16 NGO terlibat dalam perhimpunan itu.

Antaranya adalah Gabungan Graduan Melayu Muda, Persatuan Kebajikan Islam Selangor dan Pertubuhan Pembela Perlembagaan Persekutuan

Tiada ulasan: