Sabtu, 8 Mei 2010

Kimma dan IRIMM pula buat laporan terhadap Zaid

KUALA LUMPUR 8 Mei - Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Datuk Zaid Ibrahim yang dianggap menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kedua-dua pihak itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini kira-kira pukul 11.30 pagi.

Presiden Kimma, Mohd. Fazil William berkata, kenyataan Zaid di dalam blog dan sebuah akhbar yang melarang penggunaan masjid serta surau untuk kempen politik sebagai pandangan peribadi sultan adalah tidak wajar.

Jelas beliau, apa sahaja titah sultan perlu dihormati dan menuruti apa yang dititahkan baginda.

"Berikutan itu, Kimma menggesa Zaid meminta maaf secara terbuka berhubung kenyataannya itu.

"Laporan polis ini dilakukan turut meminta agar pihak polis menjalankan siasatan ke atas Zaid ekoran kenyataannya itu," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan itu.

Tambah Mohd. Fazil, tindakan tegas perlu diambil supaya perbuatan menghina sultan seperti itu tidak dilakukan pada masa akan datang.

Sementara itu, Presiden IRIMM, Amir Amsaa Alla Pitchay turut menggesa Zaid memohon maaf secara terbuka.

Jelasnya, titah baginda itu adalah satu peringatan kepada umat Islam agar tidak berpecah belah antara satu sama lain.

"Titah sultan perlu dihormati dan diikuti kerana baginda merupakan ketua setiap negeri," katanya.

Tiada ulasan: