Sabtu, 8 Mei 2010

Syed Azidi hairan sikap Husam

KOTA BHARU 8 Mei - Penulis blog, Syed Azidi Syed Abdul Aziz hairan dengan sikap Exco Kanan Kelantan, Datuk Husam Musa yang mengambil masa terlalu lama menjawab dakwaan bahawa beliau memberi wang RM40,000 kepada Global Media Channel Sdn. Bhd. (GMC) yang sebelum ini dilaporkan menjalankan operasi gerak saraf.

Beliau berkata, pengakuan Husam itu juga amat bertentangan dengan kenyataan yang dibuat oleh kepimpinan Pas Pusat dan negeri mengenai kewujudan firma terbabit sebelum ini.

''Saya hairan kenapa Husam mengambil masa terlalu lama untuk menjawab selepas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Pas Kelantan, Zaki Ibrahim menafikan bahawa pemimpin parti itu terlibat dalam GMC sejak dua tiga minggu lalu.

''Bagi saya operasi gerak saraf tidak salah tetapi apa yang dipertikaikan di sini dari mana wang RM4 juta itu datang, kalau dari luar negeri atau sumbangan pihak tertentu kena buktikan kepada ahli Pas dan rakyat," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pengakuan Husam ketika berceramah di Taman Guru di sini baru-baru ini bahawa beliau telah membayar lebih dari RM40,000 kepada GMC untuk poster Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dihasilkan oleh GMC.

Sebelum ini, Syed Azidi menamakan lima individu yang menjadi penyumbang wang RM4 juta kepada GMC.

Mereka ialah Exco kanan kerajaan Kelantan, Ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan, pemimpin Dewan Pemuda Pas Kelantan dan pengarang sebuah akhbar propembangkang.

Sebelum itu, dalam blognya, Kickdefella, penulis itu mendedahkan menerima peruntukan RM4 juta daripada pihak tertentu untuk menjalankan operasi gerak saraf bagi melemahkan kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan memastikan Pas terus bertahan di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Syed Azidi yang bekas Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) berkata, pengakuan Husam bahawa beliau memberikan wang lebih dari RM40,000 sememangnya benar.

''Betul dia beri lebih daripada itu tetapi wang yang saya terima secara terus daripada tangan Husam sendiri RM40,000 manakala selebihnya diberikan oleh individu-individu tertentu atas arahan Husam.

''Ayat yang beliau gunakan supaya individu ini memberi wang adalah 'beri dekat pak sheikh (Syed Azidi), dia nak buat kerja," katanya.

Tambahnya, Husam atau kepimpinan Pas seharusnya menjawab dengan jelas dari mana wang tersebut datang dan bukan hanya menyebut secara umum.

''Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mendedahkan kesemua senarai penerima tender selepas didesak, jadi kenapa Pas tidak boleh berbuat begitu dedahkan kesemuanya termasuk penerima kawasan balak bagi menjelaskan keadaan sebenar," katanya.

Tiada ulasan: