Jumaat, 7 Mei 2010

Proses penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Sibu

SIBU - Proses penanmaan calon untuk pilihan raya kecil Parlimen Sibu bermula pukul 9 pagi di Dewan Suarah, di sini, hari ini.

Tempoh pencalonan selama sejam, disusuli dengan tempoh bantahan selama sejam, dan diikuti dengan pengumuman senarai calon yang akan bertanding pada pilihan raya kecil kerusi parlimen Sibu pada 16 Mei ini oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Wong See Meng.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai kem Barisan Nasional (BN) bergerak dari Estate Delta, kira-kira 2 kilometer dari pusat penamaan calon itu manakala pihak DAP bergerak dari Taman Rajang, di sini.

BN menamakan Robert Lau Hui Yew, 45, sebagai calonnya manakala DAP memilih Ahli Parlimen Bukit Assek, Wong Ho Leng, 50, sebagai calonnya.

Selain BN dan DAP, sebelum ini ada dua lagi calon, Narawi Harun dan Hamka Kassim menyuarakan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya Robert Lau Hoi Chew, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu. - Bernama

Tiada ulasan: