Jumaat, 7 Mei 2010

Nik Aziz gagal tangani krisis istana

KUALA KRAI 7 Mei - Krisis Istana Kelantan tidak akan berlarutan sekiranya Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memainkan peranannya sebagai penasihat kepada Sultan dan Pemangku Raja Kelantan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, apa yang berlaku hari ini jelas menunjukkan kegagalan Nik Abdul Aziz melaksanakan tugasnya dengan baik walaupun telah memegang jawatan tersebut selama 20 tahun.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, tindakan Mursyidul Am Pas itu yang berdiam diri jelas menunjukkan bahawa beliau tidak mengambil peduli tentang apa yang berlaku ke atas institusi diraja tersebut.

"Saya kecewa kerana beliau tidak memainkan peranannya sebagai Menteri Besar Kelantan sedangkan beliau adalah Penasihat kepada Sultan mahupun Pemangku Raja.

"Dengan jawatan, ilmu dan kononnya seorang ulama, Nik Aziz sewajarnya menghadap dan memberikan nasihat kepada Sultan dan juga pemangku raja bagi mencari jalan menyelesaikan kemelut yang berpanjangan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Perkasa Daerah Kuala Krai di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krai di sini petang ini.

Turut hadir, Yang Dipertua (YDP) Perkasa Kuala Krai, Alwi Harun; Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Kassim dan YDP Perkasa Perak, Ahmad Zaini Ismail.

Akhbar hari ini, melaporkan Nik Aziz berkata, beliau masih belum sempat untuk menziarahi Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra yang kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kerana tiada masa.

Tuanku Ismail dibawa ke hospital terbabit pada Selasa lalu oleh sepasukan anggota polis yang mengambil baginda semasa dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kira-kira pukul 7.20 petang.

Tindakan pihak berkuasa tersebut menimbulkan polemik baru dalam krisis Istana Kelantan sehinggakan keluarga diraja terbabit turut melahirkan rasa kecewa kerana tidak dibenarkan menziarahi baginda.

Semalam, akhbar turut melaporkan setiap pergerakan Sultan Kelantan perlu mendapatkan perkenan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra bagi memastikan keselamatan baginda terjamin.

Ibrahim berkata, perkara seperti itu tidak akan berlaku sekiranya Menteri Besar bertindak dengan pantas untuk memberi nasihat bagi menyelesaikannya.

"Perkara seperti ini jarang berlaku, tetapi di negeri-negeri lain ada berlaku. Bagaimanapun menteri besarnya telah memainkan peranan dan memberikan nasihat yang sewajarnya kepada sultan.

"Saya bukannya mahu mencampuri urusan istana tetapi saya amat dukacita dengan sikap Menteri Besar Kelantan yang lepas tangan dalam isu ini," katanya.

Ibrahim bagaimanapun percaya krisis tersebut akan selesai dalam masa terdekat kerana ia hanya masalah keluarga.

Tiada ulasan: