Sabtu, 1 Mei 2010

Search, Wings masih hebat



DUA legenda rock tanah air, Awie dari Kumpulan Wings dan Amy dari kumpulan Search bersemangat menyampaikan persembahan mereka dalam Konsert Double Trouble 2 di Bukit Kiara Equestrian Country Resort, Bukit Kiara malam tadi.

KUALA LUMPUR 1 Mei - Kumpulan rock gergasi tanah air, Search dan Wings membuktikan mereka masih 'berbisa' apabila berjaya menarik hampir 20,000 peminat menyaksikan konsert Double Trouble 2 di sini malam ini.

Konsert yang diadakan di Bukit Kiara Equestrian Country Resort itu merupakan yang kedua menggabungkan dua kumpulan itu di atas pentas persembahan berskala besar sejak 1997.

Sebelum konsert bermula pukul 8.45 malam, peminat Search dan Wings sudah mula memenuhi pekarangan stadium tertutup lokasi persembahan diadakan.

Malah, jalan di kedua-dua hala menuju ke lokasi persembahan sesak teruk sepanjang hampir tiga kilometer apabila penonton meletakkan kenderaan di tepi jalan.

Dua daripada tiga lorong di kedua-dua hala itu dipenuhi dengan kenderaan terutama kereta, van, bas dan motosikal.

Double Trouble 2 yang mengenakan tiket berharga RM70 itu menyaksikan dua kumpulan terbabit menyanyikan sebanyak 25 lagu termasuk medley popular masing-masing.

Antara lagu yang disampaikan bersama-sama oleh mereka ialah Balada Pemuzik Jalanan, Opera Hidup, Sejati, Isabella, Rozana, Gadisku, Taman Rasyidah Utama, Nur Nilam Sari danMisteri Mimpi Syakilla.

Peminat tidak berganjak dari tapak konsert biarpun jam sudah menunjukkan pukul 11 malam.

Sebaliknya, Search dan Wings tampil ke pentas menyanyikan dua lagu terakhir bertajuk Rock N Roll Lu Punya Suka dan Pasti Bersama-Sama sebelum mengakhiri konsert itu.

Search dianggotai Amy sebagai penyanyi, Yazit (dram), Din (gitar), Kid (gitar) dan Nasir (bass) manakala Wings pula disertai Awie (penyanyi), Black (dram), Eddie (bass), dan Joe (gitar).

Konsert anjuran Adept Nep Production itu merupakan konsert paling ramai ditonton pada tahun ini setakat ini.

Tahun lalu, Search mengadakan Konsert di Awan Biru tajaan Celcom di tetapi ia cuma disaksikan sekitar 10,000 penonton.

Tiada ulasan: