Khamis, 13 Mei 2010

Undi pos berjalan lancar


Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan tanggungjawab masing-masing membuang undi pos di Kem Oya, Batu 14, di Sibu, Sarawak, semalam.


SIBU 13 Mei – Proses pembuangan undi pos Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu bagi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berjalan lancar hari ini.

Seramai 2,808 orang terlibat dengan pembuangan undi yang berlangsung di empat pusat iaitu Pejabat Daerah Sibu di Wisma Sanyan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, Kem RASCOM dan Kem Batu 14 Jalan Oya, di sini.

Pengarah SPR Sarawak, Takun Sunggah yang meninjau proses berkenaan berkata, anggotanya sudah berada di pusat pembuangan undi itu seawal pukul 8.30 pagi dan pusat itu dibuka mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Menurutnya, seramai 1,910 anggota ATM membuang undi di dua pusat pengundian iaitu Kem RASCOM dan Kem Batu 14 Jalan Oya selama dua hari dan berakhir esok.

“Bagi anggota PDRM, seramai 627 orang pula mula mengundi pagi ini pada pukul 9 hingga 2 petang sahaja di IPD Sibu.

“Bagi petugas SPR yang seramai 271 orang pula, mereka telah membuang undi di Pejabat Daerah Sibu di Wisma Sanyan di sini mulai pukul 2 hingga 5 petang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Parlimen Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar, yang terdiri daripada 52,158 pengundi biasa dan 2,808 undi pos.

Orang Melayu/Melanau mewakili 17 peratus atau 9,369 orang berbanding Iban (15 peratus atau 8,665), Orang Ulu (0.11 peratus atau 63 orang), Bidayuh (0.5 peratus atau 30 orang), lain-lain (1.39 peratus atau 74 orang dan kaum Cina (66 peratus atau 36,494 orang)

Tiada ulasan: